MERDEKA SUKACIPTA PLATFORM KUMPUL GOLONGAN KREATIF - AMERRUDIN

16/09/2023 05:13 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Program Merdeka Sukacipta anjuran Balai Seni Negara selama dua hari bermula hari ini sempena sambutan Hari Malaysia dan Bulan Kebangsaan menjadi platform buat golongan kreatif di negara ini untuk memperlihatkan hasil kerja kreatif mereka kepada masyarakat. 

Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad berkata program itu turut menyokong usaha menerapkan budaya reka cipta dalam kalangan masyarakat sekali gus menyemarakkan semangat cinta kepada negara. 

“(Bilangan) masyarakat kreatif dalam data yang kami ada menerusi Jejak Seni Malaysia menunjukkan terdapat lebih daripada 2,000 orang yang berdaftar. Jadi bila kita sediakan platform sebegini, kita dapat bantu mereka untuk sama-sama datang dan memperlihatkan hasil ciptaan masing-masing yang unik dan boleh menjana pendapatan,” katanya selepas majlis pelancaran program berkenaan di sini hari ini. 

Balai Seni Negara director-general Amerrudin Ahmad

Beliau berkata pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang program itu termasuk pertandingan mewarna dan melukis bagi kanak-kanak, pertandingan kostum kreatif dan pertandingan seni melukis figuratif. 

Katanya program itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penggiat seni terutama dalam kalangan mereka yang mempunyai anak-anak berbakat.

Merdeka Sukacipta turut dimeriahkan dengan aktiviti bazar jualan, program saringan kesihatan, jualan but kereta, aktiviti panjat tembok, zumba, persembahan kumpulan busker atau pemuzik jalanan manakala malam ini persembahan khas daripada penyanyi Amir Jahari, Leaism dan Elmontaro. 

Program tersebut menjangkakan kehadiran 5,000 pengunjung dan setakat tengah hari tadi telah mencecah kira-kira 2,000 orang.

“Saya berharap supaya masyarakat kita lebih terdedah kepada minat untuk reka cipta dan menghasilkan karya seni yang bertemakan kenegaraan sebagaimana pertandingan hari ini,” kata Amerrudin.  

Seorang pengunjung, Norzila Aiman berkata beliau datang ke program berkenaan untuk membawa dua anaknya yang berusia tiga dan enam tahun menyertai pertandingan yang dianjurkan sekali gus meningkatkan semangat patriotisme mereka.

“Saya bawa anak-anak untuk lihat pertandingan yang mereka boleh sertai dan tadi ada juga kuiz berkisar kenegaraan, dapat masuk pertandingan mewarna walaupun tidak menang,” katanya.

-- BERNAMA