Penganjuran Hari Kebangsaan Dapat Sambutan Sangat Menggalakkan Daripada Pelbagai Kaum

12/10/2023 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Penganjuran sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos lepas menerima respons sangat menggalakkan daripada pelbagai kaum dan etnik di negara ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching berkata pelbagai program dan segmen utama yang menonjolkan elemen perpaduan dilaksanakan pada sambutan itu bagi menzahirkan semangat penyatuan masyarakat majmuk negara ini.

"(Antaranya) Persembahan khas Gegar MADANI disertai oleh kira-kira 800 penari dan 600 pelajar sekolah di samping irama pukulan gendang daripada 400 pemain gendang pelbagai kaum.

"Acara perarakan kontinjen Perpaduan Malaysia MADANI pula dianggotai 400 peserta daripada pelbagai kaum dan etnik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang memperagakan pakaian pelbagai etnik di negara ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.  

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang meminta penjelasan berhubung dakwaan penyertaan dalam Sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini tidak mencerminkan keseimbangan kaum.  

Teo berkata sambutan tahun ini juga telah menerima maklum balas positif Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan menzahirkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan atas penganjuran sambutan Hari Kebangsaan 2023.

-- BERNAMA