Oleh Rosmalis Anuar
KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Timor-Leste mahu meneruskan latihan untuk pegawainya di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Malaysia (IDFR) untuk bertukar pengetahuan serta pembangunan kapasiti antara kedua-dua negara.
Naib Perdana Menteri Timor-Leste Francisco Kalbuadi Lay berkata sejak 2002, Malaysia telah memainkan peranan penting dalam pembangunan kapasiti sumber manusia Timor-Leste.
Beliau berkata lebih 600 pegawai Timor telah dilatih dalam pelbagai bidang menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia (MDCP).
“Sokongan itu memberi impak yang besar kepada Timor-Leste, kerana ia telah meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pegawai kami untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat Timor-Leste,” katanya pada majlis ulang tahun ke-48 Hari Kebangsaan Timor-Leste yang disambut pada 28 Nov, di sini pada malam Selasa.
Kalbuadi Lay berada di Malaysia untuk lawatan kerja empat hari mulai Ahad.
Sambil menyatakan penghargaannya kepada Malaysia dan rakyatnya atas sokongan tidak berbelah bahagi kepada Timor-Leste sejak mencapai kemerdekaan pada 2002, beliau berkata kedua-dua negara mempunyai hubungan yang kukuh dan mesra.
Mengenai sejarah perkongsian kedua-dua negara, beliau mengimbas kembali peranan penting Malaysia sebagai antara negara yang menghantar pasukan pengamannya ke Timor-Leste semasa pungutan suara 1999 dan krisis 2006.
“Solidariti ini membuktikan persahabatan yang mendalam dan berkekalan antara kedua-dua negara kita,” katanya.
Kalbuadi Lay juga menyuarakan penghargaannya atas sokongan konsisten Malaysia untuk Timor-Leste menganggotai ASEAN sejak permohonan rasminya pada 4 Mac 2011, dengan menyatakan bahawa Malaysia telah menjadi sekutu yang teguh dalam usaha negaranya meneruskan kerjasama dan integrasi serantau.
Sebagai anggota pemerhati ASEAN, beliau berkata Timor-Leste mempunyai peluang besar untuk belajar daripada semua negara anggota mengenai mekanisme dan kerja blok serantau itu.
“Dengan mengambil bahagian dalam semua mesyuarat ASEAN, Timor-Leste telah memperoleh pandangan yang berharga dan memahami proses membuat keputusan ASEAN.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan negara anggota ASEAN dan rakan pembangunan ASEAN dalam pelaksanaan pelan hala tuju yang disahkan oleh pemimpin ASEAN di Labuan Bajo, Indonesia, pada Mei 2023,” katanya.
Beliau berkata Timor-Leste komited untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam menangani cabaran bersama dan mempromosi keamanan serta memupuk hubungan rakyat dengan rakyat yang kukuh dengan menggalakkan persefahaman dan kerjasama budaya dalam forum serantau.
Semasa majlis jalinan perniagaan dan makan malam Friends of Timor-Leste-Malaysia pada Isnin, Kalbuadi Lay memberitahu pemberita bahawa Timor-Leste berharap menjadi anggota penuh ASEAN apabila Malaysia mempengerusikan blok serantau itu pada 2025.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Duta Besar Timor-Leste ke Malaysia Joana Veneranda Amaral dan ketua-ketua misi asing.
-- BERNAMA